Gambar ini berasal dari Rekod Jabatan Arkib dengan tajuk Mr Francis, Dr.Conyngham and Native. Menurut Arkib " sehingga kini Arkib Negeri Sabah belum dapat gambar sebenar foto Datu Paduka Mat Salleh".
Gambar ini diambil pada bulan Disember tahun 1899. Mr.Francis adalah Pegawai Daerah Jesselton ketika itu sementara Dr.Conyngham pula adalah Pengarah Hospital Sandakan dan seorang Doktor Perubatan yang banyak membuat kajian berkaitan serangga di North Borneo.
Pada pertengahan bulan Disember 1899, Mr Francis Atkinson dan Dr Coningham telah menyertai Kapten C.H. Harrington dalam satu ekspedisi angkatan perang untuk menyerang Mat Salleh di Tambunan. Ekspedisi ini disertai oleh seramai 900 orang termasuk sekumpulan lebih kurang 680 orang Natives atau penduduk tempatan dari Tuaran dan Putatan yang diketuai oleh Native Chief atau Ketua Anak Negeri masing-masing.
Ekspedisi Harrington menjadikan Putatan markas pertama untuk berkumpul bagi menggerakkan angkatan perang. Tindakan ini bagi menyekat kemaraan pengikut Mat Salleh yang sedang menyerang Putatan.
Sebelum itu, para pengikut Mat Salleh telah menyerang Menggatal, Mengkabong, Papar dan yang terakhir mereka menyerang Putatan. Harrington telah dilantik sebagai Komander untuk menyerang balas Mat Salleh di Tambunan. Misi utama mereka adalah membunuh Paduka Mat Salleh dan memusnahkan Tambunan.
Kapten C.H. Harrington yang dilantik sebagai Komander Perang telah menjadikan Putatan markas pasukannya. Harrington dibantu oleh Mr Francis Atkinson yang mengetuai pasukan Polis dari Jesellton.
Ketika dalam perjalanan dari Putatan ke Tambunan, Dr.Conyngham sempat mengambil gambar bersama-sama Native dari Putatan dan Tuaran. Beliau juga mengambil gambar serangga dan kutu binatang untuk melengkapkan kajiannya.
Pada tahun 1900 iaitu sewaktu menyerang Kubu Mat Salleh di Tambunan, Dr Coningham telah tercedera ketika melarikan diri dari serangan Pasukan Mat Salleh. Beliau satu-satunya Pegawai British yang tercedera dalam serangan tersebut.
Mr Francis pula telah diserang oleh penyakit Malaria atau Demam Borneo yang ketika itu tiada vaksin untuk mengubatinya dan meninggal dunia lebih kurang setahun kemudian. Satu menara Peringatan untuk mengenang jasa Mr Francis Atkinson sebagai Pegawai Daerah telah didirikan di Jesselton. Menara Jam tersebut dikenali sebagai Atkinson Clock Tower yang siap dibina pada tahun 1905.
Pada masa ini, Menara Jam Atkinson terletak disebuah bukit kecil berhampiran Balai Polis Kota Kinabalu di Jalan Gaya. Menara ini menjadi tarikan pelancong ke Kota Kinabalu terutama ketika mengunjungi Tamu Mingguan Gaya Street.
Jika dalam gambar ini ada Mat Salleh bersama Atkinson yang dalam misi menangkap dan membunuh Mat Salleh, sudah tentu Perang Tambunan tidak berlaku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan