Kuburan anak ketiga Mat Salleh dengan Dang Bandang telah ditemui di Kampung Parapat Laut pada 18 Julai 2015 bersamaan hari kedua Hari Raya Aidil Fitri yang lalu. Pada Batu Nisan Kuburan tertulis nama UNGKUNG BIN PADUKA TUAN ( TUN ) AHMAD SALLEH.
Tulisan pada Batu Nisan adalah tulisan Jawi Sulu ( Tulisan Jawi yang berbaris seperti tulisan Arab ). Gaya tulisan seperti ini adalah Versi Tulisan Jawi Lama yang digunakan oleh orang Suluk dan Bajau dalam menulis sesuatu perkataan. Versi Tulisan ini digunakan oleh orang-orang lama dahulu kala dan tidak lagi digunakan pada masa sekarang.
Penemuan bersejarah ini akan menjawab persoalan waris sebenar Paduka Mat Salleh dan wajar dikaji selidik untuk membetulkan aliran sejarah dan kekaburan berkaitan Mat Salleh. Kuburan ini tidak pernah dikunjungi oleh anak cucu Ungkung. Kuburan Ungkung atau nama lainnya HALIPAN ditemui oleh Cicit kepada Ungkung dan PAHLAWAN iaitu Encik Nahalan Haji Mehdunah dari sebelah ibunya ( Cucu Halipan dan Pahlawan ). Encik Nahalan Mehdunah juga adalah Piut kepada ANDANG@ANANG kakak kepada Ungkung dari sebelah ayahnya. Anang adalah isteri kepada Sultan Pandapatan ( TM 1892 - 1902 ).
Ungkung adalah orang yang mengasaskan dan membuka Kampung Parapat Laut bersama-sama ZUBAHIR ( keturunan Pahlawan ) dan USMAN serta adiknya UMAR. Ungkung adalah suami kepada LAULA. Mana kala ZUBAHIR adalah suami kepada NUHALA. Usman, Umar, Laula dan Nuhala adalah cicit kepada Sultan Badaruddin II ( TM 1881 - 1884 ).Sultan Badaruddin II juga adalah moyang kepada Tun Mustapha Bin Datu Harun.
Kampung Parapat Laut diasaskan pada 10 Shaaban 1342 Hijrah atau bersamaan 16 Mac 1924 iaitu lebih kurang 20 tahun selepas Perang Tambunan 1900. Hajarat dan Salasilah keluarga diwarisi oleh Encik Nahalan daripada Alllahyarham Tuan Imam Haji Musa Bin Imam Jamaluddin ( Cucu USMAN ). Pembukaan Parapat adalah atas izin perkenan Maharaja Haji Abdul Rahim ( TM 1870 - 1931 ) yang merupakan Raja Wilayah Marudu selepas era Shariff Usman ( TM 1846 ) yang berpusat di Limau-Limauan.Tuan Haji Abdul Rahim adalah bapa mertua kepada Datu Harun, bapa Tun Mustapha.
Turut ditemui di Tanah Perkuburan Kampung Parapat Laut ialah kuburan anak Mat Salleh yang lain bernama TAHIR BIN SHARIFF ABDUL RASHID ( Nama lain kepada Mat Salleh ) dari isterinya yang ketiga bernama Shariffah Maimunah ( Keturunan Sharif Usman, Marudu ). Tahir datang dari Langkon Kota Marudu kerana menyusul abang tirinya Ungkung. Beliau adalah salah seorang dari anggota Gerila Peribumi Tun Mustapha yang berjuang menentang pemerintahan Jepun pada tahun 1946.Anggota Pejuang Gerila dari Kampung Parapat Laut yang lain ialah Haji Ali Basa yang berjuang bersama Datu Muhamadun ( adik Tun Mustapha ), Haji Ali Usman, Haji Zabarhan, Haji Julkipli dan beberapa yang lain.
Anggota Gerila Peribumi yang lain adalah dari Kampung Limau-Limauan, Kampung Talaga, Kampung Air, Kampung Landung Ayang, Pulau Banggi, Kota Marudu dan Pitas.
Kuburan Ungkung dan Tahir hendaklah dijaga dan jangan diubah suai atau diganggu untuk mengekalkan nilai sejarah dan keasliannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan